"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syah tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Finah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Finah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Syah liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Finah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Finah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Finah mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Finah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Finah semakin tinggi, setinggi egonya.
Syah diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Finah' di sebalik Finah yang dia kenal selama ini. Finah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syah seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syah muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
"Ada hikmah," bisik hati kecil Syah, sekecil pandangannya terhadap Finah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syah sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syah berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syah dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.
Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Finah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syah. Bagi Finah, Syah seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syah melamarnya menjadi isteri kedua. Syah masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Finah nampak seperti tiada jalan penyelesaian.. Dia mahu berbaik dengan Finah, namun sikap Finah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syah tersebut.
Bagi Finah, Syah tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syah berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syah semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi DIA menghantar seorang perempuan bagi menguji Syah– sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syah.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syah dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Habibah. Syah sekali lagi gusar takut-takut Habibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syah menemui Tuhannya, namun, Habibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Finah atau tidak? Syah bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Habibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Habibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syah berjumpa dengan Habibah bertemankan sahabat baiknya.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syah mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Finah.
"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syah tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Habibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Syah menerima jawapan Habibah yang tenang dan yakin.
Habibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syah.
"Kenapa saya?" tanya Syah ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Habibah yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Syah tersenyum.
Akhirnya, Syah dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Habibah, Syah terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, habibah sangat membantu gerak kerja Syah semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syah membawa Habibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Habibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syah. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Habibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Habibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Syah sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Habibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syah menoleh sedikit ke arah Habibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Habibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syah dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Habibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syah yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syah aktif dalam dakwah sebelum ini.
"Kita dah sampai," Syah membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.
Syah berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Habibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Syah menuding jari ke arah khemah tersebut
"Mana bang?" Habibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syah.
"Tak nampak pun," Habibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Habibah sangat berdebar..
Syah tersenyum lebar, memandang Habibah penuh tenang.
"PERJUANGAN, " jawab Syah.
***************
Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!
Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…
Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga dirimu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!
Jika dirimu bakal seorang suami…
Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.
Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…
Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!
0 comments:
Post a Comment